Name:
Email Address:
Handphone:
Address:
Product Code:
Quantity:
Inquiry/Comment:
Create a web form here

16 March 2015

Aura Fesyen : Ayu Wanita Bertudung

Pemilihan gaya, warna dan fabrik pamer keanggunan si pemakai

Wanita bertudung sememangnya kelihatan ayu dan cantik dipandang. Kini semakin ramai wanita dilihat memakai tudung. Pelbagai golongan wanita bertudung sama ada pelajar mahupun di sektor lain. Ada juga segelintir memakai tudung bukan saja kerana ingin menutup aurat, malah terlalu fanatik dengan trend penggayaan berhijab lebih ‘style’ jika dipadankan apabila dipadankan dengan busana yang sesuai.



Tidak kurang pemakaian itu turut dipengaruhi oleh lambakan jenama tudung dengan pelbagai pilihan dan cara penggayaan tudung yang kelihatan lebih unik. Fenomena bertudung juga merangsang perniagaan yang mampu menjana keuntungan besar kerana semakin ramai sedar mengenai kewajipan menutup aurat oleh wanita Islam.

Apa yang pasti, pemilihan, penggayaan dan penjagaan tudung amat penting.

Tudung direka dengan pelbagai jenis seperti selendang, tudung bawal, berlapis, pendek atau labuh dan sebagainya.

Memilih tudung seharusnya dititik beratkan kepada mereka yang baharu berjinak-jinak memakai tudung mahupun yang sudah lama bertudung supaya si pemakai selesa dengan penampilannya. Seelok-eloknya, cuba dulu pelbagai jenis tudung dan pilih yang bersesuaian dengan bentuk muka.

Jika melihat tudung melalui gambar atau internet, belum tentu sesuai dengan individu kerana mungkin fabrik dan warnanya agak berlainan seperti yang asal.
Sebaiknya bawa rakan, keluarga atau penjual tudung itu sendiri yang mungkin lebih mahir untuk memberi pendapat mengenai tudung yang akan dikenakan sebelum membeli.

Pemilihan gaya sesuai

Warna adalah antara unsur penting dalam pemilihan tudung. Ini kerana jika salah memilih rona tudung mungkin akan tenggelamkan atau menutupi seri wajah yang menyebabkan nampak janggal dari segi penampilan.

Mengenai penggayaan pula, hendaklah bijak mengenakan fesyen mengikut majlis atau tempat yang bersesuaian. Sebagai contoh, untuk ke sesuatu majlis tudung yang dikenakan jangan terlalu sarat supaya tidak menjadi tumpuan ramai.

Jika tudung yang dikenakan agak ‘glamour’ atau bercorak, seeloknya dipadankan dengan pakaian yang lebih ringkas atau polos.

Bagi pelajar atau remaja pula, lebih baik mengenakan fabrik dari lycra atau kain kapas kerana ia lebih tahan lasak dan tidak mudah renyuk.

Penjagaan yang betul

Bagi wanita berkerjaya tampak lebih menarik mengenakan fabrik sutera atau satin kerana menyerlahkan lagi kekemasan dan kelihatan lebih profesional. Jika memakai tudung agak polos, lebih cantik jika dipadankan dengan keronsang.

Bagaimanapun, haruslah diingatkan kerongsang tidak perlu terlalu banyak dipakai dan haruslah memilih saiz yang bersesuaian. Begitu juga jika mengenakan aksesori, seharusnya tidak terlalu sarat, bersesuaian dengan pakaian dan tudung.

Disarankan, memakai tudung yang minimum lilitannya memandangkan iklim di negara kita agak panas berbanding negara lain.

Penjagaan tudung juga penting diberi penekanan seperti cara cucian. Tudung rona terang atau pastel tidak digalakkan dibasuh bersama tudung warna gelap, begitu juga di sebaliknya.

Cara terbaik menjaga fabrik tudung daripada tidak mudah rosak atau luntur ialah membasuhnya dengan menggunakan tangan.

Warna sesuai dengan baju

Pada musim perayaan yang akan menjelang tidak lama lagi, tudung akan lebih menjadi tumpuan pembeli untuk dipadankan dan digayakan dengan baju.

Oleh itu, pemilihan rona tudung haruslah sepadan dengan warna baju. Tidak salah untuk mengenakan warna tudung sedondon baju tetapi haruslah warna tudung berunsurkan warna corak baju. Anda juga boleh mengenakan warna yang berbeza daripada warna baju atau ‘bermain’ dengan rona tetapi seharusnya tidak terlalu kontra warnanya.

Walaupun aliran tudung kini lebih meluas seharusnya diingatkan berhijab bukan saja mengikut aliran semasa di samping menutup aurat tetapi haruslah menjaga adab pemakaian juga.

Bagi yang bertudung seharusnya memakai pakaian lebih sopan, iaitu tidak terlalu ketat, berlengan pendek atau berpakaian jarang sehingga menampakkan susuk tubuh. Jagalah pemakaian seperti kita menjaga aurat.


*Petikan dari Berita Harian, bertarikh 16/7/2014*


1 comment:

  1. Salam..good effort Sis!!...walau dipetik daripada Berita Harian..ia memudahkan pembaca yang ingin mencari tips dan panduan berpakaian..kerana artikel ini terus menjurus kepada fesyen..

    ReplyDelete